Friday, 17 August 2012

Bilakah Zakat Fitrah Menjadi Wajib





Sedar tak sedar kita dah berada di penghujung bulan Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu. Benarlah sabda Nabi bahawa di akhir zaman nanti masa akan berjalan begitu pantas sehingga setahun dirasakan bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari dan sehari dirasakan seperti percikan api.

Orang Terangganu sanggup berhijrah ke Sabah, orang Perlis ke Melaka, Johor ke Kedah dan Sarawak ke Kuala Lumpur semata-mata mencari rezeki. Tak dinafikan ramai juga yang bekerja ditempat sendiri. Di mana jua kita bekerja, ingatlah bahawa semua ini adalah rezeki yang telah ditetapkan Allah. Kita juga mesti ingat dalam pendapatan diperolehi ada hak orang lain yang tidak boleh kita abaikan (zakat).

Salah satu kelebihan Ramadhan ialah zakat fitrah. Zakat dari sudut bahasa membawa beberapa maksud. Salah satu bermaksud bersih. Orang yang mengeluarkan zakat beerti dia membersihkan hartanya dalam mencari redho Allah. Maksud yang kedua ialah tumbuh. Mereka yang mengeluarkan zakat tidak dikurangkan sedikit pun rezekinya bahkan Allah akan memberikan ganti dan menambahkan keberkatan. Harta orang yang berzakat sentiasa bertambah, inilah yang dikatakan "tumbuh".

Bilakah zakat fitrah menjadi wajib? Terdapat 5 hukum berkaitan zakat fitrah iaitu harus, wajib, sunat, makruh dan haram.

Zakat fitrah menjadi wajib ke atas seseorang apabila dia sempat berada di bulan Ramadhan dan Syawal. Orang yang meninggal dunia di bulan Ramadhan sebelum masuknya 1 Syawal, telah gugur kewajipan zakat fitrah ke atasnya. Seperti yang berlaku pada keluarga saya, datuk saya telah kembali ke rahmatullah pada 22 Ramadhan lepas, hukum wajib zakat fitrah telah pun gugur ke atas si arwah. Tapi kalau pihak waris nak keluarkan zakat juga ke atas si arwah tidak salah kerana hukumnya adalah harus.

Bagi mereka yang mendapat cahaya mata selepas masuknya 1 Syawal, tidak wajib ke atas si waris mengeluarkan zakat fitrah ke atas bayi tersebut. Hukumnya sekadar harus.

Dengan 2 contoh yang diberikan ni jelaslah 2 hukum berkaitan zakat fitrah iaitu wajib dan harus.

Bilakah waktu paling afdal mengeluarkan zakat fitrah? Sebaik- baik waktu untuk mengeluarkan zakat fitrah adalah selepas menunaikan solat subuh 1 Syawal sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Golongan yang berhak menerima zakat pasti gembira dengan zakat yang diterima lebih-lebih lagi pada 1 Syawal.

1 Syawal adalah hari kemenangan umat Islam setelah sebulan lamanya kita menahan hawa nafsu menjalankan ibadah puasa dan bermujadah melakukan ibadah-ibadah yang lain. Sebab itulah disunatkan memakai pakaian baru pada 1 Syawal sebagai dorongan melahirkan suasana ceria dan gembira. Golongan yang tidak mampu gembira menerima zakat fitrah dan mereka yang berkemampuan bergembira dengan pakaian baru yang serba cantik.

Mengeluarkan zakat fitrah setelah selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri adalah makruh sehingga gelincir matahari. Setelah gelincirnya matahari, hukumnya menjadi haram.

Pada kesempatan ini saya menyeru kepada sahabat-sahabat menghadiahkan bacaan al Fatihah kepada datuk saya Hj Mustafa bin Ishak yang baru sahaja kembali ke rahmatullah. Al Fatihah!

Sumber hukum: كتاب مطلع البدرين



www.islamclick.com

No comments:

Post a Comment